SARAWAK DAHULUI NEGERI LAIN DENGAN PELAKSANAAN LEVI KARBON | KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
» NEWS » SARAWAK DAHULUI NEGERI LAIN DENGAN PELAKSANAAN LEVI KARBON

SARAWAK DAHULUI NEGERI LAIN DENGAN PELAKSANAAN LEVI KARBON

KUCHING: Sarawak terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap agenda mitigasi perubahan iklim apabila menjadi negeri pertama di negara ini, selepas Singapura yang melaksanakan levi karbon sebagai langkah mengawal pelepasan gas rumah kaca dan memperkukuh kelestarian alam sekitar.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, levi tersebut melibatkan industri yang mengeluarkan lebih sebanyak 250,000 tan karbon setahun termasuk sektor minyak dan gas, aluminium, besi dan simen.

“Levi karbon ini sangat penting kerana pertama, kita dapat mengurangkan perubahan iklim. Kedua, kita dapat mewujudkan hasil baharu untuk Sarawak dan jumlahnya sangat besar,” katanya ketika Majlis Perasmian Pembukaan International Workshop on Climate Change Resilience (IWCCR) 2025 di sini pada Rabu.

Jelasnya, kutipan levi karbon akan bermula tahun depan selepas tempoh pelaporan melalui Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB).

Selain levi karbon, beliau turut menekankan kepentingan undang-undang alam sekitar yang telah diluluskan sebelum ini, termasuk Ordinan Pengurusan Sumber Mampan dan Sisa 2025 serta Ordinan Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau 2023 yang menjadi asas pengurusan pelepasan karbon dan sisa secara mampan di Sarawak.

Dalam ucapannya juga, beliau turut berkongsi pengalaman menyertai COP30 di Brazil yang menghimpunkan 70,000 delegasi dari 200 negara, dengan fokus kepada agroforestri, pertanian regeneratif serta cadangan ganjaran global melalui bon hijau kepada negara yang berjaya mengekalkan hutan mereka.

“Negara seperti Malaysia, Indonesia dan Brazil yang mempunyai hutan luas wajar diberi ganjaran kerana mengekalkan hutan mereka,” tambahnya.-EDISI UKAS

Disediakan oleh: Mia Amira & Betrice Britney Dee
Foto: Betrice Britney Dee

Date of Input: 10/12/2025 | Updated: 10/12/2025 | lanz

MEDIA SHARING

KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
086855201
086855888
F, (11:12:30am-11:17:30am, 13 Jan 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]