KUCHING 3 Disember - Sarawak terus memperkukuh agenda kelestarian melalui undang-undang dan dasar baharu yang memberi tumpuan kepada pengurangan pelepasan karbon dan pengurusan hutan mampan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abg Hipni menyatakan Sarawak berada di landasan kukuh menangani perubahan iklim selaras komitmen global
Pada persidangan Pihak-Pihak ke-30 bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim, COP30.
Penggubalan Rang Undang-Undang Pengurusan Sumber Mampan dan Sisa 2025 serta pelaksanaan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Emisi Gas Rumah Hijau), 2023 menjadi tonggak utama strategi negeri dalam mengurus perubahan iklim secara sistematik.
Beliau turut mengumumkan bahawa Sarawak antara wilayah terawal di rantau ini selepas Singapura yang melaksanakan levi karbon melibatkan industri yang mengeluarkan lebih 250,000 tan karbon setahun.
Sektor gas, aluminium dan simen turut dikenal pasti antara penyumbang utama emisi dan pelaksanaan levi itu bertujuan mengurangkan pelepasan karbon, meningkatkan pendapatan negeri dan menggalakkan pemantauan emisi lebih ketat oleh industri terlibat.
Berucap merasmikan International Workshop on Climate Change Resilience (IWCCR) 2025, beliau berkata syarikat berkaitan sedang menjalani proses pelaporan emisi melalui NREB sebelum pelaksanaan penuh tahun depan.
Selain itu, beliau mengiktiraf peranan institusi akademik termasuk UPM dan Institut Ekosistem Sains Borneo dalam penyelidikan hutan, agroforestri serta ketahanan ekosistem, yang menyumbang kepada strategi penyesuaian iklim negeri.
Kerajaan negeri, katanya, terus mengalu-alukan idea dan penyelidikan baharu yang menyokong dasar kelestarian termasuk pemulihan tanah menggunakan teknologi biochar, pengurusan hutan berasaskan sains dan pembangunan ekonomi hijau.
IWCCR 2025 dihadiri lebih 150 peserta tempatan dan luar negara termasuk daridaripada Malaysia, Indonesia, Perancis, Vietnam dan United Kingdom.



Date of Input: 10/12/2025 | Updated: 10/12/2025 | lanz

Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS)
Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia