IWCCR 2025 MENCARI PENYELESAIAN INOVATIF TERHADAP PERUBAHAN IKLIM | KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
» NEWS » IWCCR 2025 MENCARI PENYELESAIAN INOVATIF TERHADAP PERUBAHAN IKLIM

IWCCR 2025 MENCARI PENYELESAIAN INOVATIF TERHADAP PERUBAHAN IKLIM

BINTULU: Bengkel Antarabangsa mengenai Daya Tahan Perubahan Iklim (IWCCR) 2025 di Hotel Harbour View Kuching pada Rabu menyaksikan perkongsian dan pertukaran pandangan dalam menerokai penyelesaian secara inovatif sekali gus memperkukuh daya ketahanan terhadap perubahan iklim.

Bengkel tersebut yang tamat esok merupakan anjuran Institut Ekosains Borneo (IEB) Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) dalam kolaboratif bersama Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB).

Turut terlibat rakan-rakan strategik termasuk TALENT Agensi Pembangunan Perancis (AFD) dan Kumpulan CIRAD, organisasi penyelidikan pertanian dan kerjasama antarabangsa Perancis yang memberi tumpuan kepada perubahan iklim dengan membangunkan sistem pertanian lestari, membina daya tahan di kawasan yang terdedah dan menyokong keselamatan makanan.

Bengkel ini turut mendapat kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Institut Perhutanan Tropika (INTROP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dan Gerhardt Malaysia, sekali gus mengukuhkan impak saintifik dan dipacu polisinya.

Program tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan turut dihadiri Timbalan Pengurus Besar BDA Abdul Rahim Abdullah, pegawai-pegawai BDA serta Pengarah UPMS merangkap Pengerusi Pengasas KUUB Prof Dr Shahrul Razid Sarbini.

Jurucakap BDA berkata, bengkel tersebut yang disertai 11 negara menjadi platform kepada penyelidik, pakar industri serta pembuat dasar untuk bertukar pandangan serta meneroka penyelesaian secara inovatif dalam memperkukuh daya ketahanan terhadap perubahan iklim.

"BDA melalui Lydia Soloma Jalong turut telah diberi penghormatan untuk menjadi moderator untuk mengupas tema 'Bahan Adaptif Eko Hijau, Pengurusan Sisa dan Bahan Pencemar Baharu'," katanya.

Bengkel ini sebagai menyokong serta memperkukuhkan matlamat SDG 13(Tindakan Iklim) dan SDG 17 (Kerjasama ke arah Matlamat) melalui gabungan tindakan iklim dan perkongsian yang mantap antara pelbagai pihak termasuk institusi pendidikan dan komuniti.

 

Date of Input: 10/12/2025 | Updated: 10/12/2025 | lanz

MEDIA SHARING

KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
086855201
086855888
F, (07:49:33am-07:54:33am, 13 Jan 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]