11 NEGARA TERLIBAT PERKASA AGENDA ANCAMAN IKLIM 2025 | KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
» NEWS » 11 NEGARA TERLIBAT PERKASA AGENDA ANCAMAN IKLIM 2025

11 NEGARA TERLIBAT PERKASA AGENDA ANCAMAN IKLIM 2025

KUCHING: Sebelas negara terlibat dalam Program International Workshop On Climate Change Resilience (IWCCR) 2025 bagi membincangkan usaha memperkukuh ketahanan iklim dan kelestarian alam sekitar.

Pengarah Kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak, Professor Dr. Shahrul Razid Sarbini berkata, program bertemakan ‘From Awareness to Action: Climate Solutions for Sustainable Future’ itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai bidang.

“Ia terdiri daripada penyelidik pelbagai bidang, penggubal dasar, agensi kerajaan dan antarabangsa serta industri berkaitan.

“Tema ini menekankan bahawa usaha menangani perubahan iklim tidak boleh berhenti pada tahap pengetahuan atau kesedaran semata-mata. Ia menyeru kepada tindakan nyata yang kolaboratif dan berasaskan sains untuk melaksanakan penyelesaian iklim yang mampu mengurangkan risiko, meningkatkan ketahanan serta memacu pembangunan mampan.

“Pendekatan ini merangkumi inovasi teknologi, amalan pengurusan yang lebih baik, dasar awam yang berkesan dan penglibatan masyarakat bagi memastikan alam sekitar, ekonomi dan kesejahteraan sosial dapat dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian International Workshop On Climate Change Resilience (IWCCR) 2025, di sini, hari ini.

Tambah beliau, bengkel itu sejajar dengan usaha global dan nasional untuk memperkukuh tindakan iklim selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 13).

Jelasnya, perkongsian itu memberi ruang kepada peserta bertukar pengetahuan, membincangkan cabaran semasa perubahan iklim, dan merangka pendekatan berimpak tinggi bagi pengurangan karbon, mitigasi dan adaptasi iklim.

Sebelas negara yang terlibat dalam bengkel tersebut ialah Malaysia, Indonesia, Vietnam, Brunei, Thailand, Sri Lanka, Jepun, Jerman, Perancis, Slovakia dan United Kingdom.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa UPMS memacu inisiatif iklim berdasarkan tiga tonggak strategik iaitu pertanian, perhutanan dan tenaga boleh diperbaharui.

“Tonggak ini selaras dengan aspirasi Sarawak dalam ketahanan sistem makanan, perlindungan ekosistem dan peralihan tenaga hijau.

“Sebagai universiti penyelidikan tunggal di Sarawak, UPMS menerajui inovasi termasuk penawaran program Sarjana Tenaga Boleh Baharu bagi membangunkan kepakaran dalam keselamatan tenaga dan teknologi hijau negeri ini,” jelasnya.

Date of Input: 10/12/2025 | Updated: 10/12/2025 | lanz

MEDIA SHARING

KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
086855201
086855888
F, (06:11:27am-06:16:27am, 13 Jan 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]