YLE KUUB Job Jumpstart 2026, bertemakan Ace Your Job Interview – Step In Ready. Step Out Successful, merupakan bengkel intensif satu hari secara hibrid yang bertujuan untuk menyediakan pelajar dan graduan muda menghadapi pasaran kerja yang kompetitif. Program ini telah dijalankan pada 7 Februari 2026 di TEGAS Digital Innovation Hub, Bintulu, serta secara atas talian melalui aplikasi Zoom, dengan fokus memberi strategi praktikal , kemahiran profesional, dan pengalaman pembelajaran untuk meningkatkan keyakinan, persediaan, dan penjenamaan diri peserta semasa temuduga.
Memasuki ke dunia pekerjaan merupakan satu cabaran besar bagi pelajar dan graduan, terutamanya dalam menghadapi proses temuduga yang kompetitif dan sering mencabar. YLE–KUUB Job Jumpstart 2026 dirancang untuk mengatasi cabaran ini dengan memberikan peserta pemahaman teori serta kemahiran praktikal yang diperlukan untuk berjaya dalam temuduga. Menurut Fakhzan Buang, Timbalan Pengerusi YLE UPMS × TEGAS, bengkel ini telah dirancang sejak tahun lepas dengan tujuan khusus untuk membimbing graduan baharu dan pelajar meningkatkan kemahiran temuduga mereka serta mempersiapkan mereka untuk peluang kerjaya.
Program ini memberi peserta pemahaman menyeluruh tentang asas temuduga, jangkaan majikan, teknik menjawab soalan secara terstruktur menggunakan kaedah STAR (Situation, Task, Action, Result), kemahiran profesional, dan penjenamaan diri. Dilaksanakan secara hibrid, bengkel ini termasuk sesi interaktif, simulasi temuduga praktikal, dan maklum balas secara langsung daripada profesional berpengalaman, membolehkan peserta mendapat pengalaman nyata tentang proses temuduga sambil meningkatkan kemahiran insaniah, bahasa badan, nada suara, dan keyakinan diri. Format hibrid ini juga membolehkan penyertaan merentas wilayah dari pelajar di Sarawak, Sabah, Labuan, Brunei, dan Kalimantan, seterusnya meningkatkan keterangkuman dan aksesibiliti.
Para peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti seperti memahami kehendak majikan, berlatih menjawab soalan secara terstruktur menggunakan kaedah STAR, menghadiri simulasi temuduga, dan mendapatkan panduan mengenai penjenamaan diri untuk memberi kesan pertama yang kukuh. Bengkel ini menampilkan penceramah dan fasilitator berpengalaman, iaitu Ludinata Menun, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), UPM Serdang ; Rakis Setia Khan Bin Chamsudin, Pengurus Cawangan Bank Islam Bintulu; Florence Menun Anak Nyalang, Eksekutif Jualan dan Pemasaran, Parkcity Everly Hotel Bintulu; Danielee Sugit Teo Anak Steward Rengga, Cef Muda dari Parkcity Everly Hotel Bintulu; dan Ahmad Azamuddin Bin Jamil daripada Pusat Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC UPMS).
Bengkel ini berjaya menarik penyertaan seramai 80 orang, termasuk 20 peserta hadir secara fizikal dan 60 peserta secara atas talian. Maklum balas menunjukkan peningkatan keyakinan peserta dalam menghadapi temuduga, pemahaman yang lebih baik mengenai teknik komunikasi berkesan, serta persediaan yang lebih mantap untuk peluang kerjaya. Sifat interaktif program ini, bersama simulasi praktikal, telah banyak menyumbang kepada tahap kesiapsiagaan peserta menghadapi pasaran kerja.
YLE–KUUB Job Jumpstart 2026 merupakan contoh pendekatan berstruktur dan pengalaman praktikal dalam pendidikan kebolehpasaran graduan. Dengan menggabungkan teori dan aktiviti interaktif, program ini berjaya memperkasakan bakat muda dengan kemahiran, keyakinan, dan persediaan profesional yang diperlukan untuk temuduga yang berjaya. Program ini dianjurkan oleh Youth, Leadership & Entrepreneurship (YLE) UPMS dan TEGAS Digital Innovation Hub, Bintulu, dengan kerjasama Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB), Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPM Serdang, Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa UPMS, dan Pusat Pembangunan Maklumat Dan Komunikasi UPMS.











Tarikh Input: 11/02/2026 | Kemaskini: 11/02/2026 | lanz

Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS)
Jalan Nyabau,
97008 Bintulu, Sarawak,
Malaysia