PROGRAM HIBRID TUMPU PENGUASAAN TERHADAP KEPERLUAN UTAMA INDUSTRI MASA KINI | KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
» NEWS » PROGRAM HIBRID TUMPU PENGUASAAN TERHADAP KEPERLUAN UTAMA INDUSTRI MASA KINI

PROGRAM HIBRID TUMPU PENGUASAAN TERHADAP KEPERLUAN UTAMA INDUSTRI MASA KINI

BINTULU: Tumpuan kepada penguasaan literasi digital, asas kecerdasan buatan (AI), pemikiran keusahawanan, kemahiran komunikasi dan pemikiran kritikal  merupakan keperluan utama industri masa kini, kata Felo Bersekutu Pusat Antarabangsa Putra Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) Fakhzan Buang.

Katanya, pendekatan program seumpamanya bersifat hibrid memberi ruang lebih luas kepada penyertaan belia pelbagai latar belakang termasuk daripada institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara ke arah meningkatkan kemahiran bidang terbabit.

Justeru katanya, penyertaan pelajar di negara ini juga akan membantu membangun bakat digital serantau.

Antaranya pelajar UPMS, UPM,  Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sarawak dan Sabah, UiTM Kampus Pulau Pinang, Universiti Kuala Lumpur serta beberapa institusi lain terdiri daripada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA Bintulu, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Bintulu, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Bintulu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu.

Selain itu, penyertaan belia antarabangsa dari Indonesia, Brunei, Jepun dan India juga dapat membentuk jaringan yang mencerminkan kerjasama rentas sempadan dalam membangunkan bakat berkaitan.

Beliau berkata demikian mewakili Pengarah UPMS Profesor Dr Shahrul Razid Sarbini semasa merasmikan International Putra Bakti YLE-KUUB @ Youth Digital 2.0: Future Leaders Training Series 2026' di TEGAS Digital Innovation Hub pada hujung minggu lalu.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) UPM Prof Madya Dr Mohd Mursyid Arshad berkata, elemen latihan kepimpinan berasaskan penyelesaian masalah sebenar, pendedahan teknologi pintar serta penggunaan teknologi secara beretika perlu diperkukuh agar pelajar bersedia memimpin masyarakat.

Katanya, kursus kokurikulum berkredit memainkan peranan penting dalam membentuk graduan holistik.

Pengarah program Muhammad Dannish Lian Harrisson berkata, komitmen tinggi, semangat kebersamaan serta penghargaan terhadap kepelbagaian latar belakang menjadi kekuatan utama dalam memastikan setiap aktiviti terbabit berjalan lancar.

Senada dengannya Fasilitator QKK2101 Bakti Siswa Roslan Ismail berkata, sepanjang dua hari penganjuran, peserta mengikuti bengkel interaktif, latihan berstruktur serta projek komuniti yang memberi pengalaman pembelajaran praktikal.

Katanya, program itu membuka ruang jaringan profesional dan kerjasama masa depan dalam bidang AI, keusahawanan digital, pembangunan sosial dan pembangunan kemahiran insaniah, sahsiah serta kepimpinan pelajar.

Jelasnya, penglibatan aktif dalam setiap aktiviti membantu membangunkan kemahiran insaniah, membentuk sahsiah diri serta memupuk nilai kepimpinan dalam kalangan pelajar agar lebih bersedia menjadi pemimpin muda berdaya saing dan beretika.

Seramai 247 belia dalam dan luar negara menyertai program bertemakan 'Memperkasakan, Menginovasi, Memimpin' tersebut yang menjadi medan strategik membentuk pemimpin masa depan cemerlang akademik, memiliki jati diri serta berkeupayaan menyesuai diri dengan landskap ekonomi digital yang berubah pantas.

Program tersebut anjuran pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit QKK2101 Bakti Siswa (Kumpulan 2) UPMS dengan kerjasama Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) sebagai penaja utama, Youth Leadership and Entrepreneurship (YLE) UPMS, Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB) serta PKPP UPM.

 

Date of Input: 05/03/2026 | Updated: 05/03/2026 | lanz

MEDIA SHARING

KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
086855201
086855888
F, (01:59:20pm-02:04:20pm, 05 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]