UPM SARAWAK DAN KUUB PERKUKUH JARINGAN STRATEGIK SERANTAU DI MAJLIS KONVOKESYEN UNISSA KE-15 | KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
» ARTICLE » UPM SARAWAK DAN KUUB PERKUKUH JARINGAN STRATEGIK SERANTAU DI MAJLIS KONVOKESYEN UNISSA KE-15

UPM SARAWAK DAN KUUB PERKUKUH JARINGAN STRATEGIK SERANTAU DI MAJLIS KONVOKESYEN UNISSA KE-15

BERAKAS, Khamis, 21 Ogos –Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, selaku Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), telah berkenan berangkat ke Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-15 yang berlangsung penuh istiadat dan meriah di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 507 graduan diraikan dalam pelbagai bidang pengajian. Suasana penuh istiadat tersebut bukan sahaja melambangkan kejayaan, malah membawa makna yang lebih mendalam – iaitu amanah besar yang dipikul oleh para graduan untuk menyumbang kepada pembangunan agama, bangsa, dan negara. Selaras dengan visinya untuk menjadi sebuah institusi pengajian tinggi Islam bertaraf global yang melahirkan Generasi Khayra Ummah, UNISSA menegaskan bahawa graduan yang dilahirkan perlu berperanan sebagai agen perubahan dalam membangunkan ummah melalui ekosistem mampan berteraskan Maqasid Syariah.
 
Seiring dengan matlamat melahirkan graduan yang relevan dengan keperluan semasa, UNISSA turut mencatat beberapa pencapaian dan inisiatif penting. Antaranya termasuklah penubuhan Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan yang memberi latihan kepakaran dalam piawaian industri halal dan pengurusan pelancongan lestari; pelaksanaan Program Ijazah Dual Sarjana Muda (Dual Degree Programme) secara kolaboratif bersama universiti rakan strategik antarabangsa; serta penjenamaan semula kursus kokurikulum melalui Framework for Integrating Knowledge, Readiness and Advancement (FIKRA) yang lebih progresif. Selain itu, UNISSA turut melonjak ke tangga 201 dalam The World University Rankings for Innovation (WURI) 2025, dan menerima pengiktirafan antarabangsa daripada Cambridge Islamic Finance Advisory (IFA). Kesemua pencapaian ini membuktikan komitmen UNISSA dalam menyediakan pendidikan tinggi Islam yang berkualiti, relevan, dan berimpak global.
 
Majlis konvokesyen turut menjadi wadah penting dalam memperkukuh kerjasama strategik serantau, khususnya antara UNISSA, Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPM Sarawak), dan Konsortium Universiti Universitas Borneo (KUUB). Hadir mewakili YBhg. Dato’ Naib Canselor UPM ialah Professor Dr. Shahrul Razid Sarbini, Pengarah UPM Sarawak merangkap Pengerusi KUUB. Beliau disertai oleh Encik Noor Hakim Ahmad, Ketua Pentadbiran UPM Sarawak, serta Tuan Haji Fakhzan Haji Buang, Ketua Sekretariat Kehormat KUUB. Delegasi ini turut berkesempatan membincangkan pelbagai inisiatif strategik bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) merangkumi bidang pembangunan akademik, kepimpinan dan perkhidmatan komuniti.
 
Kehadiran Sekretariat KUUB ke majlis berprestij ini bukan sahaja memberi sokongan diplomatik kepada UNISSA, malah mencerminkan komitmen konsortium dalam menyatukan kekuatan institusi pengajian tinggi serantau. Jaringan ini diyakini akan menjadi pemangkin kepada pertukaran ilmu, pembangunan modal insan yang berdaya saing, serta pembinaan komuniti akademik yang lebih inklusif dan mampan. Dengan semangat persaudaraan dan visi bersama, KUUB, UNISSA, dan UPM Sarawak akan terus memperkukuh usaha ke arah merealisasikan pembangunan pendidikan tinggi yang seimbang, berteraskan nilai Islam, demi kemajuan Borneo serta dunia Islam secara keseluruhannya.
 
 
 
 

 

Date of Input: 27/08/2025 | Updated: 27/08/2025 | lanz

MEDIA SHARING

KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
086855201
086855888
F, (10:58:29pm-11:03:29pm, 03 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]