Bandar Seri Begawan, 21 Ogos 2025 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan menerima cenderamata istimewa berupa Keringkam daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak sempena Majlis Hafl Al-Takharruj Konvokesyen ke-15 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Brunei Darussalam.
Cenderamata tersebut telah dipersembahkan oleh Pengarah UPM Sarawak, mewakili YBhg. Dato’ Naib Canselor UPM, sebagai simbol penghargaan dan jalinan muhibah antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Brunei Darussalam.
Keringkam, iaitu sejenis tudung atau selayah warisan tekstil tradisional masyarakat Melayu Sarawak, terkenal dengan kehalusan seni sulamannya yang berasaskan motif flora seperti bunga tanjung, bunga ros, dan pucuk rebung. Keringkam yang dipersembahkan kepada Baginda Sultan merupakan hasil tangan halus Puan Hajjah Norlela Japar dari Kuching, Sarawak.
Mengambil masa selama 14 hari untuk disiapkan sepenuhnya, helaian eksklusif ini diperbuat daripada kain halus dan disulam dengan benang emas bermotifkan bunga tabur Sarawak yang diserikan dengan sulaman “UPM Sarawak”. Pemilihan motif tersebut melambangkan perkembangan serta peranan UPM Sarawak dalam memperkukuhkan agenda pendidikan tinggi di rantau Borneo.
Sebagai sebuah warisan budaya, tudung Keringkam bukan sekadar perhiasan, tetapi merupakan lambang keindahan, identiti, dan nilai sentimental wanita Melayu Sarawak. Keistimewaan proses pembuatannya yang rumit menjadikannya sukar diperoleh di pasaran terbuka, justeru mempertingkatkan lagi nilainya sebagai pusaka berharga yang diwariskan dari generasi ke generasi.
UPM Sarawak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UNISSA dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) atas jemputan serta sambutan mesra yang diberikan sepanjang majlis berlangsung. Melalui penghormatan ini, UPM Sarawak berharap hubungan akademik dan persahabatan antara kedua-dua institusi akan terus diperkukuh, sekaligus menyumbang kepada pembangunan ilmu pengetahuan serta manfaat bersama bagi rakyat Malaysia dan Brunei Darussalam.
Date of Input: 29/08/2025 |
Updated: 03/09/2025 | lanz
MEDIA SHARING