KUMPULAN SANTRI D'WANGSA PUTRA UPMS BANGGA MENYERLAH PADA FESTIVAL TARI BORNEO IX 2025 | KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
» NEWS » KUMPULAN SANTRI D'WANGSA PUTRA UPMS BANGGA MENYERLAH PADA FESTIVAL TARI BORNEO IX 2025

KUMPULAN SANTRI D'WANGSA PUTRA UPMS BANGGA MENYERLAH PADA FESTIVAL TARI BORNEO IX 2025

BINTULU: Kumpulan Santri D'Wangsa Putra dari Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) tetap berbangga dengan pencapaian mereka meskipun sekadar meraih tempat ketiga dalam Festival Tari Borneo IX (Edisi Ke-9) 2025.

Ini kerana kumpulan tersebut turut menyandang dua anugerah lain dalam festival tersebut yang berlangsung 3 dan 4 Disember lalu di Dewan Jubli, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak Kampus Samarahan di Kuching.

Dengan kemenangan tersebut, UPMS membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala dan sijil penghargaan yang diterima oleh Ketua Pentadbir Pejabat Pengurusan Pelajar UPMS Mohamad Syukri Mohamad Adnan semalam.

Dua anugerah lain turut diraih UPMS adalah Anugerah Koreografer Terbaik untuk tempat ketiga yang dimenangi koreografer UPMS Hairi Hedeir serta Anugerah Kumpulan Penari Lelaki Terbaik masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500, piala dan sijil.

Jurucakap UPMS berkata, seramai 12 pelajar UPMS yang menyertai festival tahun ini telah mempamerkan komitmen tinggi, disiplin serta keunggulan seni tari yang menggambarkan keunikan budaya Borneo.

"Festival kali ini menghimpunkan tujuh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari seluruh kepulauan Borneo melibatkan penyertaan dari Malaysia dan Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap kumpulan telah mempersembahkan koreografi yang kreatif dan mencerminkan pelbagai identiti etnik Borneo yang kaya dengan nilai budaya.

Bagi edisi 2025 katanya, UiTM Cawangan Sarawak dinobatkan sebagai johan, manakala Universitas Tanjungpura Pontianak Indonesia meraih naib johan.

"UPMS merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menyokong persediaan serta kejayaan kumpulan Santri D'Wangsa Putra ini," tambahnya.

Ujarnya, kejayaan ini membuktikan kemampuan dan potensi besar mahasiswa UPMS dalam mengangkat seni budaya ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, UPMS optimis bahawa pencapaian ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa hadapan selaras dengan aspirasi universiti untuk terus unggul di peringkat Borneo dan antarabangsa.

Date of Input: 10/12/2025 | Updated: 10/12/2025 | lanz

MEDIA SHARING

KONSORTIUM UNIVERSITI UNIVERSITAS BORNEO
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
086855201
086855888
W, (09:37:57pm-09:42:57pm, 17 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]